Malik ul Saleh (Malik Al Saleh, Malik al Saleh atau Malik ul Saleh; bahasa Arab: الملك الصالح) ialah orang Aceh yang menubuhkan negeri Islam pertama di Nusantara iaitu Samudera Pasai pada tahun 1267. Nama asal beliau ialah Mara Silu, Merah Silu, atau Muerah Silu. Dikatakan bahawa beliau ada terlihat seekor semut sebesar kucing. Semut itu kemudiannya ditangkapnya lalu dimakan. Beliau menamakan tempat itu Samudera yang bererti "lautan" dalam bahasa Sanskrit (samudra). Raja Mara Silu kemudiannya memeluk Islam lalu diberi nama ayyubiyah, Malik Al-Saleh. Beliau menikahi puteri penguasa kerajaan tetangganya iaitu Kerajaan Perlak. Baginda berdua dikurniakan dua orang putera. Menurut Hikayat Raja-raja Pasai, beliau bertemu Nabi Muhammad SAW dalam mimpi lalu memeluk Islam. Sumber yang lain mendakwa seorang putera bernama Malik dari Aceh belayar merentasi lautan ke Beruas (Gangga Negara) lalu menubuhkan kesultanan di sana.[perlu rujukan]
Meurah Silu: Pengasas Kesultanan Samudera-Pasai
Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, disebutkan bahawa pada satu ketika, terdapat dua putera di Pasai iaitu Raja Ahmad dan adiknya, Raja Muhammad. Mereka masing-masing mempunyai anak angkat iaitu Puteri Buluh Betong dan Meurah Gajah. Kemudiannya, kedua-duanya telah berkahwin dan mendapat dua putera bernama Meurah Silu dan Meurah Hasun. Setelah wafatnya Raja Ahmad dan Raja Muhammad serta kedua ibu bapa mereka, Meurah Silu berpindah ke Rimba Jeram. Di sini, beliau melihat semut gergasi dan memakannya, lalu menamakan tempat tersebut sebagai Samudera, sedangkan Pasai adalah nama anjing buruannya. Akhirnya negeri tersebut dikenali sebagai Samudera-Pasai. Dalam riwayat lain, dikatakan Meurah Silu adalah putera keturunan Suku Imam Empat (Sukee Imeum Peuet) yang berasal dari Khemer. Keturunan mereka menjadi raja-raja di Perlak, Indrapurba, Samaindra dan Jeumpa. Sesetengah sarjana mengatakan Meurah Silu adalah keturunan dari dinasti Johan Berdaulat dari Perlak.
Meurah Silu (m. 1297M) menjadi tokoh yang sangat penting dalam sejarah kerajaan Samudera-Pasai kerana beliaulah yang mengasas kerajaan ini, dan kebanyakkan pengkaji mendakwa beliaulah raja Melayu yang pertama beragama Islam dengan gelaran Malik as-Salleh pada 1267M. Disebabkan peranan besar kerajaan Samudera-Pasai dalam menyambung peranan Perlak dalam perluasan dakwah di Nusantara, dengan sendirinya Meurah Silu menjadi tokoh yang sangat penting dalam perkembangan daulah Islam di rantau ini. Pada batu nisan Malik as-Salleh yang ditemui di Aceh mencatatkan, “Ini kubur adalah kepunyaan al-Marhum hamba yang dihormati, yang diampuni, yang taqwa, yang menjadi penasihat, yang terkenal, yang berketurunan, yang mulia, yang kuat beribadah, penakluk, yang bergelar dengan Sultan Malik as-Saleh.” Batu nisan itu mencatatkan tarikh kewafatan baginda pada bulan Ramadhan tahun 696H (1297M)